Friday, January 22, 2010

Membentuk Kemahiran Membaca Kanak-kanak

Minat membaca kanak-kanak ada kaitan rapat dengan keupayaan mereka berbahasa. Secara umumnya, kanak-kanak boleh membaca dengan lancar akan suka pada buku seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu hobi yang menarik.

Kanak-kanak patut diajar membaca ketika kecil lagi.
Ketika berusia 18 bulan, kanak-kanak sudah boleh diperkenalkan kemahiran membaca secara beransur-ansur. Unsur utama yang perlu diberi penekanan ialah kesedaran umum mengenai bunyi-bunyi perkataan dan penggunaannya dalam situasi seharian. Contohnya perkataan “mama” dan “papa.” Kedua-dua perkataan ini boleh ditulis dan diperkenalkan kepada kanak-kanak kerana kekerapan penggunaannya.

Apabila kanak-kanak meningkat usia 3 hingga 4 tahun, mereka sebenarnya berada dalam peringkat pembinaan bahasa yang pesat. Menurut para pengkaji perkembangan kanak-kanak, perkembangan menyeluruh kanak-kanak ialah galakan untuk perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan bahasa.

Period yang paling kritikal untuk memperkenalkan kemahiran membaca kepada kanak-kanak ialah 0 hingga 3 tahun. Ibu bapa atau guru yang bijak akan sensitif dengan perkembangan kanak-kanak pada masa ini kerana :

Umur 1 ½ hingga 3 tahun adalah peringkat yang paling sesuai untuk belajar dan mengingat maklumat. Kanak-kanak yang diberi kemahiran membaca pada peringkat usia ini akan menyerap jauh lebih banyak pengetahuan berbanding kanak-kanak yang tidak tahu membaca.
Semasa membaca, selalunya kita akan mengingat perkataan yang disebut serentak dengan perkataan yang bertulis. Begitulah juga kanak-kanak. Jika berusia 3 tahun dapat membaca, tentulah kemahiran membaca akan mempercepatkan proses pemahaman bahan bacaan yang dibacanya.

Kanak-kanak sangat lasak ketika berumur 2 hingga 3 tahun kerana mereka sangat dahagakan pengetahuan. Ibu bapa atau guru dapat mengesan perubahan ini dengan mengamati pertanyaan kanak-kanak seperti, “Ni apa?” atau “Apa tu?” Ujian menunjukkan kanak-kanak sejak dari umur 2 hingga 12 tahun bertanya sehingga 80 peratus daripada percakapan mereka. Apabila ke sekolah menengah, pertanyaan telah berkurangan sehingga 40 peratus.

Kanak-kanak belajar membaca ketika masih kecil biasanya lebih cepat bertindak dan lebih faham membaca berbanding kanak-kanak yang belajar membaca semasa di sekolah. Sebabnya ialah kanak-kanak belajar membaca dengan senang hati dan memahaminya seperti mendengar orang bercakap manakala kanak-kanak di sekolah belajar membaca dengan perasaan takut dan membaca diajar sebagai mata pelajaran yang berasingan.

Bagaimana kanak-kanak belajar membaca ?Pelbagai kaedah yang digunakan oleh kanak-kanak untuk mempelajari bahasa mengikut peringkat umur.

0 hingga 2 ½ tahun
* mula mengetahui dan memahami bahasa yang dipertuturkan oleh ibu bapa ketika berusia 18 bulan.
* belajar bahasa dengan mengumpul perkataan.
* kaedah belajar ialah melalui rangsangan deria pendengaran secara langsung & tidak langsung.
* rangsangan membaca ialah memperkenalkan buku-buku yang mengandungi banyak gambar dan berwarna- warni.
* kosa kata berkembang sehingga 270.

2 ½ hingga 4 ½ tahun
* peringkat kritikal dalam proses belajar bahasa.
* terbentuk satu unit bahasa dalam otak secara berasingan.
* perkembangan bahasa akan membantu perkembangan mental dan sosial.
* kanak-kanak belajar membaca dengan memperkenalkan huruf bersama gambar.Pada peringkat ini, kesediaan membaca masih belum terbentuk sepenuhnya dan ibu bapa harus bersabar semasa membimbing anak-anak mereka.
* mampu mengingat sehingga 1500 kota kata.

4 ½ hingga 7 tahun
* perkembangan otak memasuki fasa terakhir.
* kanak-kanak sudah menunjukkan minat dan kesediaan membaca dengan mengenali banyak
perkataan dan suka bertanya serta melihat gambar.
* corak pengajaran ialah mendedahkan kepada persekitaran seperti membezakan bunyi-bunyi binatang atau kenderaan; cara ini dapat melatih kanak-kanak meningkatkan daya pendengaran mereka.
* mampu mengingat sehingga melebihi 4500 kosa kata.

Walau bagaimanapun sesetengah kanak-kanak masih belum dapat membaca biarpun umur semakin meningkat. Keadaan ini mungkin disebabkan mereka tidak memahami tahap-tahap pengajaran bahasa yang betul

Source: HALUAN

No comments: