Jimat belanja RM750 juta tahun ini
Oleh ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
--------------------------------------------------------------------------------
PUTRAJAYA 15 Julai – Kerajaan hari ini mengumumkan subsidi petrol RON 95 dan diesel dikurangkan 5 sen seliter manakala LPG dikurangkan 10 sen sekilogram berkuat kuasa esok.
Ini bermakna petrol RON 95 dijual pada harga RM1.85 seliter, diesel RM1.75 seliter manakala LPG, RM1.85 sekilogram.
Petrol RON97 pula tidak lagi diberikan subsidi dan harga akan tertakluk kepada apungan secara terkawal dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan di sini turut mengumumkan pelarasan harga gula sebanyak 25 sen sekilogram menjadikan RM1.90 sekilogram.
“Ini sebahagian daripada Program Rasionalisasi Subsidi. Penyelarasan semula harga barang ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.
“Walaupun begitu, setelah harga barang ini diselaraskan, kerajaan masih lagi membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula,” jelasnya.
Najib berkata, penyelarasan itu adalah paling minimum berbanding cadangan yang dikemukakan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana kerajaan mahu mengimbangi antara kepentingan rakyat dan keperluan menguruskan defisit negara.
Menurutnya, hasil penjimatan daripada penyelarasan harga itu akan membolehkan kerajaan menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor penting seperti kesihatan dan pendidikan.
Tambah beliau, keputusan sukar tetapi berani yang diambil oleh kerajaan itu dibuat selepas mengadakan perundingan dengan rakyat melalui Hari Terbuka Makmal Dasar.
Najib berkata, proses mendapatkan maklum balas seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi dilaksanakan dalam usaha kerajaan untuk memastikan langkah tersebut hanya memberi impak minimum ke atas keluarga, dan pada masa sama memberi manfaat jangka panjang kepada negara.
“Meskipun harga bahan bakar dan gula di negara ini diselaraskan tetapi ia masih lagi yang paling rendah di rantau ini dan langkah tersebut akan menyumbang kepada usaha untuk mengurangkan defisit kewangan negara,” jelasnya.
Perdana Menteri berkata, langkah tersebut dibuat berdasarkan tiga perkara penting iaitu:
Pertama, semua subsidi itu tidak menepati sasaran iaitu memberi faedah kepada pihak yang tidak layak (warga asing dan rakyat berpendapatan tinggi).
Kedua, barangan bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan dan pada tahun lepas sahaja berdasarkan tangkapan yang dibuat, sebanyak 200 tan metrik gula cuba diseludup.
Ketiga, cara menggunakan bahan bakar dan gula perlu ditukar. Penggunaan berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan ia tidak menyumbangkan kepada usaha bagi melindungi alam sekitar.
“Dengan 40 peratus rakyat Malaysia berlebihan berat badan atau obes dan peningkatan jumlah penghidap diabetes, kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan.
“Mengurangkan pengunaan gula di kalangan anak-anak khususnya adalah langkah yang tepat,” kata Perdana Menteri.
Nota Kaki:
* Kenaikan harga minyak & gula, pasti diikuti kenaikan besar-besaran kepada semua barangan & perkhidmatan.
* Ini bermakna setiap keluarga perlu merangka belanjawan baru ( ditujukan khas kpd ahli keluarga 17)
* Diharapkan penjimatan daripada penyelarasan belanja kerajaan ini, betul-betul digunakan & di salurkan kepada sektor penting.